FAQ Berkaitan Perusahaan Sosial

Apakah deskripsi perusahaan sosial di Malaysia?

Melangkah kehadapan, deskripsi perusahaan sosial di Malaysia telah ditambah baik seperti berikut:

‘Perusahaan sosial ialah entiti yang berdaftar di bawah undang-undang bertulis di Malaysia, didorong oleh matlamat sosial dan mempunyai model perniagaan yang berdaya maju dari segi kewangan bagi menangani cabaran sosial dan/atau alam sekitar, serta bertujuan untuk menghasilkan impak yang positif kepada penerima manfaat dan ekonomi’.

Deskripsi ini adalah selaras dengan ciri-ciri perusahaan sosial di peringkat global iaitu:

(i) Didorong oleh matlamat/ didorong oleh tujuan;

(ii) Mempunyai perniagaan yang berdaya maju;

(iii)Menangani cabaran sosial dan/atau persekitaran; dan

(iv) Mencapai impak positif


Siapakah penerima manfaat atau kumpulan sasar di bawah SEMy2030?

Penerima manfaat atau kumpulan sasar di bawah SEMy2030 merangkumi:

(1) Kanak-kanak

(2) Warga Emas

(3) Orang Kurang Upaya (OKU)

(4) Gelandangan dan pengemis

(5) Mangsa bencana alam

(6) Mangsa keganasan rumah tangga

(7) Pesalah di bawah perintah khidmat masyarakat

(8) Mangsa pemerdagangan manusia

(9) Belia Kurang Bernasib Baik

(10) Populasi rentan

(11) Masyarakat Orang Asli

(12) Keluarga rentan: Ibu Tunggal dan Bapa Tunggal

(13) Orang yang mengalami ketagihan

(14) Bekas banduan

(15) Individu tanpa dokumen

(16) Golongan miskin dan miskin tegar

(17) Perlindungan haiwan

Senarai kumpulan sasar ini tidak menyeluruh dan akan dikaji dari semasa ke semasa.


Apakah matlamat Keusahawanan sosial di bawah SEMy2030?

Matlamat yang ditetapkan di bawah SEMy2030 adalah selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Matlamat yang dikenalpasti adalah:

(1) Penyertaan sosial yang inklusif

(2) Pendidikan untuk semua

(3) Kesaksamaan sosial

(4) Melindungi mangsa keganasan

(5) Perumahan mampu milik

(6) Jaminan makanan

(7) Penjagaan kesihatan

(8) Pemeliharaan budaya dan warisan

(9) Akses kepada air bersih dan sanitasi

(10)Pemeliharaan alam sekitar

(11)Tindakan iklim


Apakah Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 (SEMy2030)?

Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 atau SEMy2030 (disebut sebagai SEMAI 2030) merupakan satu dokumen hala tuju baharu pembangunan keusahawanan sosial di Malaysia.

SEMy2030 bertujuan untuk mewujudkan ekosistem keusahawanan sosial yang ideal bagi mengarus perdana perusahaan sosial dalam ekonomi dan menormalisasi impak sosial dana lam sekitar yang dihasilkan.


Apakah objektif pelaksanaan SEMy2030?

Terdapat lima objektif pelaksanaan SEMy2030 iaitu:

(1) Membina ekosistem pembangunan keusahawanan sosial yang bersepadu dan holistik di Malaysia;

(2) Mewujudkan sejumlah besar (critical mass) usahawan sosial;

(3) Memperkukuhkan pembangunan kapasiti dan daya saing perusahaan sosial tempatan;

(4) Mengarus perdana perusahaan sosial sebagai penyumbang kepada pembangunan negara; dan

(5) Mempertingkat dan menormalisasi perusahaan sosial untuk memberi impak positif kepada pembangunan sosial dan alam sekitar.


Apakah matlamat SEMy2030?

Matlamat SEMy2030 adalah untuk mengarusperdanakan perusahaan sosial sebagai penyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mampan.


Apakah intipati SEMy2030?

SEMy2030:

• Menetapkan deskripsi baharu perusahaan sosial;

• Menetapkan sasaran jangka sederhana dan panjang; dan

• Membangunkan kerangka strategik yang mengandungi 5 teras strategik, 20 strategi dan inisiatif.


Berapa lamakah tempoh pelaksanaan SEMy2030?

SEMy2030 akan dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun dalam 2 fasa iaitu:

Fasa 1: 2021 – 2025: Memperkukuhkan Ekosistem Keusahawanan SOsial;

Fasa 2: 2026 – 2030: Mengarus Perdana Perusahaan Sosial.


Apakah keberhasilan SEMy2030 yang dihasratkan?

Diakhir tempoh pelaksanaanya, SEMy2030 meletakkan matlamat bagi mencapai keberhasilan berikut:

(1) Pembangunan ekosisitem keusahawanan sosial yang bersepadu dan holistik bagi meningkatkan kesedaran, keterangkuman dan kesepaduan perusahaan sosial serta semua pihak berkepentingan;

(2) Mencapai bilangan perusahaan sosial yang optimum (critical mass) dengan model perniagaan yang mampan, dipacu oleh matlamat dan mempunyai dorongan untuk meningkatkan kehidupan;

(3) Membangunkan perusahaan sosial tempatan (home-grown) yang berdaya saing dan berdaya maju serta mempunyai kapasiti untuk meningkatkan kualiti kehidupan penerima manfaat dalam mencapai matlamat pembangunan inklusif;

(4) Mengarus perdana perusahaan sosial sebagai penyumbang ekonomi yang efektif kepada pembanguan negara;

(5) Menormalisasikan impak sosial dan alam sekitar yang disokong oleh analisa data berasaskan bukti.